Saturday, April 2, 2011

PROGRAM PENDIDIKAN UNTUK KANAK-KANAK PINTAR CERDAS

Memandangkan kanak-kanak pintar cerdas mempunyai kemahiran belajar yang berlainan daripada kanak-kanak biasa maka para pendidik perlu merangka satu program pendidikan khas untuk memenuhi keperluan kanak-kanak ini.
Menurut Nik Azis Nik Pa dan Noor Aini Khalifah (1982), program pendidikan kanak-kanak pintar cerdas ini terbahagi kepada tiga bentuk umum iaitu pengayaan, percepatan dan pengelompokan.
Program pengayaan terdiri daripada tiga jenis aktiviti iaitu pendedahan, latihan berkelompok dan penyelidikan masalah sebenar.

PROGRAM PENGAYAAN
Aktiviti pendedahan
Murid diberi kebebasan atau ruang untuk mempelajari bidang yang diminati. Satu sudut yang lengkap dengan pelbagai bahan pengayaan disediakan di bilik darjah. Maklumat-maklumat pengayaan seperti apa yang menarik dalam bidang tersebut , dari mana boleh mendapatkan maklumat tambahan, apakah isu-isu semasa dalam bidang ini, disediakan. Selain daripada majalah, pampflet dan buku-buku, guru juga perlu mengadakan aktiviti lawatan, ceramah, tayangan video dan sebagainya sebagai aktiviti pendedahan.
Latihan berkelompok
Ini merupakan program latihan bagi meluaskan skim pemikiran kanak-kanak. Antara aktiviti latihan ini termasuklah pemikiran kritis, penyelesaian masalah, kaedah projek dan inkuiri-penemuan.

Penyelidikan masalah sebenar Kanak-kanak pintar cerdas diberi latihan secara kumpulan kecil. Mereka diberi latihan dan bimbingan khusus untuk menyelidik masalah sebenar. Aktiviti ini menggunakan teknik inkuiri-penemuan iaitu kanak-kanak pintar cerdas tadi bermula dengan pembentukan sesuatu masalah, memahami masalah yang dibentuk, menyediakan pelan tindakan, menjalankan rancangan penyelidikan, membuat laporan dan membuat refleksi untuk membina skim penghayatan yang mantap.

Program Percepatan
Ini bermaksud kurikulum yang diajar kepada kanak-kanak pintar cerdas itu dihabiskan dengan cepat. Ada beberapa cara untuk melaksanakan program ini seperti kanak-kanak yang lebih muda memasuki tahun satu persekolahan, melangkaui kelas, melangkaui sebahagian daripada masa kelas untuk mengikuti mata pelajaran tertentu dalam kelas yang lebih tinggi (mengikut minat dan perkembangan intelek) dan memendekkan tempoh pengajaran seperti kurikulum setahun diajar dalam tempoh 6 bulan dan lebihan masa iti digunakan untuk mempelajari kurikulum yang lebih tinggi.

Program Pengelompokan
Program ini menentukan bahawa kanak-kanak dalam kategori pintar cerdas ini dikumpulkan dalam satu kelas dan diberi bimbingan yang sesuai oleh guru yang terlatih. Program pengelompokan ini memerlukan satu penilaian yang standard untuk menentukan tahap kanak-kanak pintar cerdas. Langkah ini juga dapat memberi peluang kepada kanak-kanak pintar cerdas untuk menikmati pembelajaran yang lebih sempurna.
Komputer dan Kanak-kanak Pontar Cerdas
Geoffrey Jones dalam artikelnya bertajuk, “Personal Computers Help Gifted Students Work Smart” telah menggariskan kebolehan-kebolehan komputer dalam memenuhi keperluan belajar kanak-kanak pintar cerdas. Antaranya ialah :
o Teknologi komputer yang fleksibel akan memudahkan gaya pembelajaran dan minat individu untuk berinteraksi dengan gambar, perkataan, nombor atau sebarang medium yang memberi keselesaan kepada pelajar.
o Struktur pengalaman yang direka oleh guru-guru terlatih akan membantu pelajar untuk membina kekuatan dan mengatasi kelemahan-kelemahan mereka. Word Processors dapat memperbaiki penulisan dan pengolahan idea-idea. Program-program komputer yang berkaitan dengan data statistik boleh membantu pelajar menyelesaikan pelbagai soalan yang mencabar minda mereka. Pelajar-pelajar akan bertambah yakin membina pelbagai “skills” mereka.
o Komputer juga boleh digunakan untuk menyaingi kehendak pelajar. Komputer dapat “bersabar” dan menguasai pada satu-satu idea untuk jangka masa yang panjang. Komputer juga boleh melakukan kerja-kerja yang kompleks apabila para pelajar telah bersedia untuk menggunakannya.
o Apabila para pelajar telah menerima sesuatu tanggungjawab dan menguasai penggunaan komputer, mereka akan bekerja dengan lebih cekap. Komputer berkhidmat untuk masyarakat. Semakin baik pemahaman pelajar tentang proses pembelajaran, mereka akan dapat menggunakan teknologi ini dengan cekap.
o Masyarakat belajar daripada masyarakat. Maklumat dan idea daripada masyarakat luar boleh didapati dari komputer. Para pelajar akan dapat dihubungkan melalui “software”, papan buletin atau perbincangan dan projek kumpulan. Para pelajar akan lebih terdedah kepada golongan masyarakat yang berilmu dan bijak menerusi teknologi komputer ini.

Kesimpulan
Kanak-kanak pintar cerdas adalah satu anugerah yang diberikan oleh Allah kepada makhluk-Nya. Peranan ibu bapa, pendidik, dan masyarakat amat diperlukan untuk membentuk kanak-kanak pintar cerdas ini menjadi satu aset yang paling berharga dalam masyarakat. Kepintaran dan kecerdasan kanak-kanak ini bukan hanya dibangunkan dari aspek intelek semata-mata malah pembangunan akhlak atau spiritual amatlah dipentingkan. Tidak hairan kepada kita sekiranya ada kanak-kanak pintar cerdas ini yang hanya menjadi penjual rokok di tepi jalan atau penebar roti canai kerana masalah kemiskinan atau mungkin disebabkan oleh ketidakprihatinan masyarakat pada kebolehan yang ada pada kanak-kanak tadi.

No comments:

Post a Comment