Saturday, April 2, 2011

PROGRAM PENDIDIKAN UNTUK KANAK-KANAK PINTAR CERDAS

Memandangkan kanak-kanak pintar cerdas mempunyai kemahiran belajar yang berlainan daripada kanak-kanak biasa maka para pendidik perlu merangka satu program pendidikan khas untuk memenuhi keperluan kanak-kanak ini.
Menurut Nik Azis Nik Pa dan Noor Aini Khalifah (1982), program pendidikan kanak-kanak pintar cerdas ini terbahagi kepada tiga bentuk umum iaitu pengayaan, percepatan dan pengelompokan.
Program pengayaan terdiri daripada tiga jenis aktiviti iaitu pendedahan, latihan berkelompok dan penyelidikan masalah sebenar.

PROGRAM PENGAYAAN
Aktiviti pendedahan
Murid diberi kebebasan atau ruang untuk mempelajari bidang yang diminati. Satu sudut yang lengkap dengan pelbagai bahan pengayaan disediakan di bilik darjah. Maklumat-maklumat pengayaan seperti apa yang menarik dalam bidang tersebut , dari mana boleh mendapatkan maklumat tambahan, apakah isu-isu semasa dalam bidang ini, disediakan. Selain daripada majalah, pampflet dan buku-buku, guru juga perlu mengadakan aktiviti lawatan, ceramah, tayangan video dan sebagainya sebagai aktiviti pendedahan.
Latihan berkelompok
Ini merupakan program latihan bagi meluaskan skim pemikiran kanak-kanak. Antara aktiviti latihan ini termasuklah pemikiran kritis, penyelesaian masalah, kaedah projek dan inkuiri-penemuan.

Penyelidikan masalah sebenar Kanak-kanak pintar cerdas diberi latihan secara kumpulan kecil. Mereka diberi latihan dan bimbingan khusus untuk menyelidik masalah sebenar. Aktiviti ini menggunakan teknik inkuiri-penemuan iaitu kanak-kanak pintar cerdas tadi bermula dengan pembentukan sesuatu masalah, memahami masalah yang dibentuk, menyediakan pelan tindakan, menjalankan rancangan penyelidikan, membuat laporan dan membuat refleksi untuk membina skim penghayatan yang mantap.

Program Percepatan
Ini bermaksud kurikulum yang diajar kepada kanak-kanak pintar cerdas itu dihabiskan dengan cepat. Ada beberapa cara untuk melaksanakan program ini seperti kanak-kanak yang lebih muda memasuki tahun satu persekolahan, melangkaui kelas, melangkaui sebahagian daripada masa kelas untuk mengikuti mata pelajaran tertentu dalam kelas yang lebih tinggi (mengikut minat dan perkembangan intelek) dan memendekkan tempoh pengajaran seperti kurikulum setahun diajar dalam tempoh 6 bulan dan lebihan masa iti digunakan untuk mempelajari kurikulum yang lebih tinggi.

Program Pengelompokan
Program ini menentukan bahawa kanak-kanak dalam kategori pintar cerdas ini dikumpulkan dalam satu kelas dan diberi bimbingan yang sesuai oleh guru yang terlatih. Program pengelompokan ini memerlukan satu penilaian yang standard untuk menentukan tahap kanak-kanak pintar cerdas. Langkah ini juga dapat memberi peluang kepada kanak-kanak pintar cerdas untuk menikmati pembelajaran yang lebih sempurna.
Komputer dan Kanak-kanak Pontar Cerdas
Geoffrey Jones dalam artikelnya bertajuk, “Personal Computers Help Gifted Students Work Smart” telah menggariskan kebolehan-kebolehan komputer dalam memenuhi keperluan belajar kanak-kanak pintar cerdas. Antaranya ialah :
o Teknologi komputer yang fleksibel akan memudahkan gaya pembelajaran dan minat individu untuk berinteraksi dengan gambar, perkataan, nombor atau sebarang medium yang memberi keselesaan kepada pelajar.
o Struktur pengalaman yang direka oleh guru-guru terlatih akan membantu pelajar untuk membina kekuatan dan mengatasi kelemahan-kelemahan mereka. Word Processors dapat memperbaiki penulisan dan pengolahan idea-idea. Program-program komputer yang berkaitan dengan data statistik boleh membantu pelajar menyelesaikan pelbagai soalan yang mencabar minda mereka. Pelajar-pelajar akan bertambah yakin membina pelbagai “skills” mereka.
o Komputer juga boleh digunakan untuk menyaingi kehendak pelajar. Komputer dapat “bersabar” dan menguasai pada satu-satu idea untuk jangka masa yang panjang. Komputer juga boleh melakukan kerja-kerja yang kompleks apabila para pelajar telah bersedia untuk menggunakannya.
o Apabila para pelajar telah menerima sesuatu tanggungjawab dan menguasai penggunaan komputer, mereka akan bekerja dengan lebih cekap. Komputer berkhidmat untuk masyarakat. Semakin baik pemahaman pelajar tentang proses pembelajaran, mereka akan dapat menggunakan teknologi ini dengan cekap.
o Masyarakat belajar daripada masyarakat. Maklumat dan idea daripada masyarakat luar boleh didapati dari komputer. Para pelajar akan dapat dihubungkan melalui “software”, papan buletin atau perbincangan dan projek kumpulan. Para pelajar akan lebih terdedah kepada golongan masyarakat yang berilmu dan bijak menerusi teknologi komputer ini.

Kesimpulan
Kanak-kanak pintar cerdas adalah satu anugerah yang diberikan oleh Allah kepada makhluk-Nya. Peranan ibu bapa, pendidik, dan masyarakat amat diperlukan untuk membentuk kanak-kanak pintar cerdas ini menjadi satu aset yang paling berharga dalam masyarakat. Kepintaran dan kecerdasan kanak-kanak ini bukan hanya dibangunkan dari aspek intelek semata-mata malah pembangunan akhlak atau spiritual amatlah dipentingkan. Tidak hairan kepada kita sekiranya ada kanak-kanak pintar cerdas ini yang hanya menjadi penjual rokok di tepi jalan atau penebar roti canai kerana masalah kemiskinan atau mungkin disebabkan oleh ketidakprihatinan masyarakat pada kebolehan yang ada pada kanak-kanak tadi.

Friday, January 14, 2011

CIRI-CIRI KANAK-KANAK PINTAR CERDAS

Apakah yang dimaksudkan kanak-kanak Pintar Cerdas? Dari istilah yang dikeluarkan oleh persekutuan Amerika Syarikat, maksud pintar cerdas yang ditujukan kepada kanak-kanak, pelajar atau belia adalah mereka yang mempunyai potensi dan pencapaian yang tinggi dari segi bidang seperti intelektual, kreativiti, artistik, kebolehan kepimpinan dan juga mempunyai bakat dalam bidang seni dan muzik yang mengagumkan, serta mereka ini memerlukan aktiviti atau perkhidmatan yang lain dari yang lain atau istimewa yang tidak dapat diperolehi di sekolah biasa demi meningkatkan tahap kebolehan mereka.

Bagi Negara Kanada pula, pintar cerdas ditakrifkan sebagai suatu darjah atau taraf keupayaan intelektual yang luar biasa yang memerlukan pengalaman pembelajaran yang berlainan daripada apa yang disediakan di sekolah biasa untuk memenuhi tahap keupayaan akedemik dan potensi mereka. Di England, pintar merujuk kepada 5 peratus teratas dari semua populasi sekolah di dalam bidang akedemik manakala cerdas pula adalah 5 peratus teratas dari semua bidang lain. Pelajar pintar adalah mereka yang memilki kebolehan tinggi untuk 1 atau lebih di dalam subjek akedemik. Mereka ini tidak perlu menjadi pintar untuk semua subjek. Pelajar cerdas pula adalah mereka yang mempunyai kebolehan tinggi dari segi sukan, muzik , lukisan atau seni persembahan.

Ciri-ciri positif dari aspek fizikal, psikologi dan tingkahlaku kanak-kanak pintar cerdas:

Pengamatan (Observation) tinggi
Menyedari sesuatu dengan lebih teliti berbanding dengan kanak-kanak yang sebaya dengannya yang mungkin akan terlepas pandang

Keinginan untuk tahu tinggi (Curiosity)
Ingin mengetahui semua hal seperti objek, idea, keadaan situasi atau sesuatu acara

Minat mendalam (Deep interests)
Mungkin akan menfokus sesuatu perkara yang diminati dalam jangka masa sebulan atau mungkin setahun serta akan menjadi terlampau dalam hal tersebut

Menerima infomasi dengan pantas (Fast Absorption Rate)
Selalu diandaikan seperti span,menyerap segala maklumat dengan cepat dan banyak

Ingatan yang tinggi (High Memory)
Selalu dikatakan mempunyai ruang simpanan memori yang luas untuk pelbagai topik serta mampu mengingati semula dengan cepat

Mungkin dapat membaca lebih awal (Early Reading Skills)
Kebanyakannya dapat membaca sebelum umur 5 tahun

Kerap membaca serta meluas
Suka membaca bacaan yang meluas dan pelbagai subjek serta membaca dengan pantas

Tatabahasa yang tinggi
Memiliki penggunaan tatabahasa yang canggah serta banyak dan suka menggunakan perkataan yang baru dan unik

Tahap penumpuan yang lama
Berbanding kanak-kanak normal mereka ini dapat memberi tumpuan yang lebih lama dalam sesuatu perkara kecuali aktiviti tersebut tidak menggunakan daya pemikiran

Kebolehan menyelesaikan masalah
Kanak-kanak pintar cerdas ini mampu untuk menyelesaikan masalah yang sukar untuk ditafsirkan serta memiliki kemahiran berfikir yang tinggi

Suka bertanya dengan lebih teliti
Kebolehan untuk mencipta teori baru terhadap sesuatu benda yang berlaku

Keupayaan imaginasi yang tinggi
Mampu untuk membayangkan sesuatu samada baik atau buruk dan boleh mencipta cerita yang bagus serta boleh menyatakan segala kebimbangannya

Minat dalam falsafah dan isu-isu sosial
Sebagai contoh, perjalanan galaksi,masalah-masalah berkaitan populasi dunia,isu-isu alam sekitar

Sangat sensitif dari segi emosi dan emosi tingkah laku
Mudah kecewa walaupun dalam hal-hal yang kecil tetapi boleh mengalir air mata apabila melihat keindahan matahari terbenam atau mendengar lagu serta sanggup untuk berhenti makan daging kerana sangat simpati terhadap haiwan

Sangat menitikberatkan hal-hal keadilan
Sangat teliti dalam hal-hal betul atau salah bukan sahaja untuk diri sendiri malah untuk orang lain

Bersemangat dan bertenaga
Mereka ini kurang tidur berbanding rakan sebaya mereka tetapi mereka masih mampu dan mempumyai tenaga untuk meneruskan kehidupan seharian

Pandai berjenaka
Mampu mencipta suatu situasi jenaka dan melakukan jenaka yang mana rakan-rakan sebayanya langsung tidak memahami

Sangat teliti dan mementingkan kesempurnaan
Tidak suka melakukan kesilapan dan mudah kecewa bila sesuatu tidak dapat dilakukan dengan sempurna

Perkembangan asynchronous
Perkembangan fizikal intelektual, emosi dan social adalah tidak selaras sebagai contoh kanak-kanak berumur 6 tahun mungkin seperti kanak-kanak 10 tahun inteleknya, kanak-kanak berumur 8 tahun seperti sosialnya dakanak-kanak 6 tahun dari segi emosinya.